Besday in the jungle
October 20, 2009 by hariri
Lama sudah aku tidak menulis di sini. Tidak tahu kenapa, dan aku tidak mahu memberi alasan ‘kekangan masa’ lagi kerana ia hanya menggambarkan sikap ketidakpekaan aku kepada masa. Sudah pasti kewajipan melebih masa yang ada, jadi seharusnya kita lebih menghargai masa itu dan tidak perlu menyalahkan masa jika kita tidak mampu menguruskannya.
Dulu aku merasakan aku mampu menguruskan 2 3 blog dari segi mengemaskinikannya tapi aku tidak mampu bertahan. Inilah blog pertama yang aku miliki dan aku amat sayang untuk melepaskannya berbanding blog yang lain.
Dulu aku merasakan kurangnya masa aku di sini adalah kerana aku sukar untuk mengakses internet, tetapi sekarang, walaupun aku sudah memiliki laptop dan broadband sendiri, aku masih gagal ke sini selalu dan membiarkan ianya bersawang. Bukan tiada perkara yang inign ditulis, bahkan terlalu banyak perkara penting untuk aku tulis di sini, tapi… argh, aku malas untuk mencipta alasan lagi.
Dulu ada juga yang bertanya kenapa blog ini diam saja, tetapi lama kelamaan pertanyaan itu semakin jauh dan akhirnya tiada siapa yang mempedulikan blog ini lagi. Barangkali sudah bosan ataupun sudah melupakan blog ini. Namun, itu bukanlah suatu masalah kepadaku kerana bagiku blog ini hanyalah bersifat peribadi dan bertujuan untuk aku mengingat kembali siapa aku 20-30 tahun akan datang jika dipanjangkan umur. InshaAllah.
20 Oktober 25 tahun yang lepas aku dilahirkan di dunia ini oleh bonda di sebuah teratak usang di Kampung Jal Besar. Ramai tidak mengetahui apa itu Jal sehingga ada di antara surat yang sampai menulis ‘Kampung Jalan Besar’ kerana beranggapan Jal itu adalah singkatan kepada Jalan.
Alkisah aku dalam perjalanan Kelantan-Penang menaiki bas Budaya 1st Class dan di dalam perjalanan, bas mengalami kebocoran kepala paip minyak menyebabkan minyak keluar sehingga hampir kering di dalam tangki. Kebocaran yang besar ini berlaku sejurus selepas tarikh bertukar dari 19 oktober ke 20 oktober. Barangkali kerana perubahan usia penumpang menyebabkan bas itu mengalami kerosakan.huh. Kami menunggu pomen datang dari jam 12.30tgh malam selepas pemandu 1 dan pemandu 2 beserta beberapa rakan pemandu bas budaya lain yang berhenti gagal menyelesaikan masalah kerana kekurangan alat dan tiada stok simpanan minyak untuk menggantikan minyak yang bocor. Pomen yg datang dari terminal bas Tanah Merah tiba jam 4.30pg dan memperbaik kebocoran itu sehingga jam 5pagi sebelum bas bergerak kembali.
Pakcik bas cuba menenangkan kami dan meminta kami tidur saja sambil menunggu pomen.
“jangan bermain di luar, nanti polong datang”, pakcik bas memanggil seorang penumpang yang turun berehat di tepi hutan tebal itu. huhu.
Sepanjang waktu menunggu aku cuba memuhasabah diri di atas ujian ini sebelum tertidur.
Unik sekali pengalaman pertama ini lebih-lebih lagi berlaku pada hari lahirku. Untuk yang lain, mungkin ini pengalaman biasa. Aku tiba di destinasi jam 9pagi. Mujur juga ada rakan di dalam bas yang menuju ke destinasi yang sama. Kebetulan kami menaiki bas yang sama. Di stesen bas, kami meilih untuk menaiki teksi dan di perhentian teksi aku terserempak dengan pemandu teksi yang suatu ketika dulu pernah terasa hati denganku. Beliau senyum saja dan menunjukkan kepadaku teksi yang bakal membawaku. Arg, rupanya beliau masih ingat akan hal itu.
Apapun, banyak betul dugaan hari ini. Sudahlah bas lewat, adaptor laptop tertinggal di rumah, hp sony ericson rosak, printer kehabisan dakwat, dan sebagainya.
Namun aku bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menghirup oksigen dan memperbaiki amalan-amalan yang masih berlompang.
Ya Allah, jadilah pengakhiran hidupku dengan pengakhiran yang baik.