Setiap yang hidup pasti kan mati. Mati adalah sesuatu yang pasti, cuma bila masanya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Sejak ditugaskan di bilik infoline ini, aku jarang membelek paper atau membaca surat khabar online. Bosan melayan kerenah pemanggil yang pelbagai walaupun pengalamanku agak lama di CSC dulu. Walaupun ada yang melabelkanku kaunselor tanpa tauliah kerana beberapa kali menyelesaikan masalah orang, tetapi memberi kaunseling tentang rokok bukanlah ‘kepakaran’ku. Aku tidak suka berada di bilik ini lebih-lebih lagi jika desk officernya bercuti.
Namun, entah mengapa aku terdetik untuk membelek Harian Metro minggu lepas. Tiada apa yang ku cari, sekadar selakan biasa, namun aku amat tertarik dengan berita ini. Entah mengapa aku amat berminat tentang ini dan mencari-cari maklumat lain di dalam akhbar yang sama dan hasilnya aku bertemu lagi berita ini. Apakah sebab musabab allayarhamah bertindak demikian? Lalu seperti biasa, pelbagai andaian yang diberikan media untuk melariskan dan menyedapkan cerita.
Kolej Allayarhamah sama dengan kolej adikku sebelum beliau cuti sakit setahun yang lepas. Apakah mereka saling mengenali? Namun, panggilan telefon dari adikku tentang hal Allayarhamah amat mengejutkan. Ada pertalian darah antara keluarganya dengan keluargaku walaupun jauh sehingga tidak tahu apakah ‘nama’ pertalian itu. Daripada pembacaan dan cerita bonda yang menziarahi keluarga Allayarhamah, akhirnya aku dapat membuat kesimpulan sendiri berdasarkan cerita-cerita yang pelbagai versi ini.
Agak meremang bila mendengar cerita tentang ibu saudara Allayarhamah yang bermimpi melihat jamuan makan yang diadakan oleh ahli warisnya yang telah mati. Bila ditanya olehnya, “kenduri apa ini?”, jawab salah seorang dari mereka “jamuan untuk menyambut orang baru”. Dan hari itu juga beliau mendapat khabar berita tentang kematian Allayarhamah.
Apapun, alfatihah kepada Allayarhamah Siti Farihan Mohd Hassan. Moga ditempatkan di tempat hamba-hambaNya yang beriman. Kita bagaimana? Sudahkah bersedia menghadapi kematian? Bilakah giliran kita? Hari inikah atau esok atau bila?
Alfatihah…